Aktiviti Semasa

Terkini

...2015 agak lambat bergerak. Semua masih dalam perancangan.



Monday 26 August 2013

ARKIB : 30/04/2011

Norlia senang ditemani cucu

NENEK kepada lima cucu ini lebih senang tinggal di rumah melayani kerenah cucu-cucunya jika tidak mempunyai aktiviti seni.

KALAU tidak ada penggambaran drama, telemovie atau filem, pelakon Norlia Ghani lebih suka tinggal di rumah. Pelakon berusia 63 tahun ini melakukan pelbagai aktiviti terutama melayani dua cucu kesayangannya, Erisya, 6, dan Eryana, 4.

Menurut Norlia yang mula berlakon pada usia 17 tahun, rumah ibarat syurganya selepas penat berlakon di lokasi produksi penggambaran.

“Saya jenis yang tidak suka keluar rumah. Di rumah, macam-macam perkara saya lakukan seperti menanam pokok bunga. Kalau dulu sewaktu di rumah pangsa di Keramat Jaya, Kuala Lumpur saya tidak boleh melakukan aktiviti itu.

“Selama 13 tahun tinggal di rumah flat, barulah sekarang saya berasa lebih selesa termasuklah cucu-cucu saya yang mudah untuk bermain,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini berkata, dia berpindah ke rumah baru itu bulan lalu bagi melupakan peristiwa hitam di rumah lamanya.

Pada 27 September 2009, anak ketiganya, Edi Rizal terjatuh dari rumah pangsa yang didiaminya hingga maut.

Katanya yang berlakon dalam filem Pancha Delima pada 1968, dia cuba melupakan peristiwa hitam itu dengan berpindah ke rumah baru tersebut.

“Paling saya risaukan ialah dua cucu saya itu yang rasanya lebih selamat tinggal di rumah teres seperti sekarang ini sewaktu saya tiada di rumah,” ujarnya.

Dia yang telah 13 tahun menjanda selepas tiga perkahwinannya gagal berkata, biarpun sudah 46 tahun berlakon tetapi ia sebati dengannya.

Jelas ibu kepada lima anak dan lima cucu ini, bidang lakonan bukan sahaja mata pencariannya selama ini.

Malah, ia juga merupakan bidang yang sukar untuk dilupakan berbanding bidang nyanyian yang turut pernah diceburinya selama ini.

“Sewaktu di rumah saya suka menonton drama dan filem tempatan di TV. Daripada situlah saya mengikuti perkembangan bidang ini,” jelasnya.

Pelakon yang sinonim dengan watak komedi ini pernah merakamkan album antaranya Relaks bersama Hamid Gurkha.

Norlia sering mengimbau kenangannya sepanjang bergelar pelakon selepas menyertai pertandingan Ratu Kebaya pada 1968.

Ujar Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2002 ini, drama Opah paling sukar dilupakannya. Tambahnya, watak Joyah yang dilakonkannya menerusi drama yang disiarkan di RTM pada tahun 1980-an itu diingati ramai hingga kini. “Sampai sekarang masih ada yang panggil saya Joyah. Mula-mula saya rasa malu juga dengan nama itu. “Itu adalah drama bersiri terpanjang pernah saya lakonkan iaitu selama hampir 18 tahun sehingga saya pun lupa jumlah episodnya,” katanya.
Dia kini sedang berehat seketika selepas tamat menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Rojak arahan Jebat Jins Shamsudin.

No comments:

Post a Comment