Seorang lelaki cuba memperbaiki jambatan usang di Sabah sebagai jalan alternatif kepada anak-anak buahnya mempersembahkan tarian Zapin sempena sambutan Hari Malaysia. Aman, 25, positif kelainan yang dibawanya, mampu untuk mengangkat Bella dan rakan-rakannya sebagai juara sulung persembahan budaya di sekolah Bella. Tanggungjawab yang digalas Aman ternyata bukan semudah yang disangka, apatah lagi tujuan sebenar Aman ke kampung tersebut hanyalah melawat rakan baiknya. Marsha, 25, semata-mata. Mana tahu dia terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik yang menyebabkan Aman benar-benar dikagumi di kampung Marsha.
Marsha mengajak Aman melawat kampungnya sebagai melengkapkan tali persahabatan mereka. Tanpa disangka, Aman mengajak dua lagi rakan, Elly, 25 dan Rosli, 25 membuatkan perancangan Marsha untuk memikat Aman tergendala. Baik Marsha, Elly dan Rosli sebenarnya menyimpan rasa cinta terpendam untuk diluahkan, berbeza dengan Aman, fikirannya sentiasa lebih jauh dari rakan-rakannya dan soal cinta, hanyalah soal nombor dua selepas tanggungjawab. Aman tertarik dengan kesungguhan adik Marsha, Bella untuk menempa nama disekolahnya. Bella dan rakan-rakannya berhasrat untuk mempersembahkan tarian Zapin sempena sambutan Hari Malaysia yang pertama sebagai satu tarian simbolik.
Walau bagaimanapun, sesi latihan Bella dan rakan-rakannya hanya dilakukan diam-diam kerana dia gusar akan menyinggung perasaan orang-orang tertentu di kampung mereka, tambahan pula, mereka semua tidak mempunyai pengetahuan asas tentang tarian Zapin. Aman menawarkan diri sebagai guru tari walaupun tidak mempunyai pengalaman professional. Aman mengajak Rosli membantunya kerana Rosli lebih arif menonton tarian Zapin. Malangnya Rosli tidak berminat untuk masuk campur dengan urusan dan janji Aman. Hatinya lebih berminat dengan Elly, gadis yang sekian lama dicintainya, dan percutian yang dirancang Aman adalah medan utamanya untuk memikat Elly.
Hati Rosli mula berbulu dengan Aman apabila Elly lebih berminat terlibat dengan cita-cita Aman terhadap Bella dan kumpulannya. Rosli cuba menyerlahkan sifat dan bakat kepimpinannya mengatasi Aman namun gagal. Rosli tidak berputus asa, dalam diam dan tanpa disangka, Rosli menarik sepupu Marsha, Alan, untuk menambahkan masalah Aman.
Mujur Aman bijak menjernihkan keadaan, bijak membuka mata Alan dan bijak menaikkan semangat yang mula luntur dalam kumpulan Bella. Karisma Aman semakin memikat hati Marsha, lebih daripada itu, Elly turut terpikat dengan Aman membuatkan kesumat Rosli semakin tidak dapat dibendung. Rosli menarik diri disaat-saat akhir dan menyatakan dia hanya berminat sebagai pemerhati. Lagipun jauh disudut hati Rosli, persembahan Bella dan rakan-rakannya tak mungkin mendapat penghormatan daripada penduduk-penduduk Sabah.
Sangkaan Rosli ternyata silap, Aman telah berjaya membawa tarian Zapin Bella keluar daripada persembunyian dan berjaya mendapat hati penduduk setempat, lebih daripada itu, jambatan sementara yang dibina Aman menjadi pencetus kepada pembinaan jambatan yang lebih kukuh. Rosli akhirnya berasa malu dan segan terhadap inspirasi yang disemai Aman. Dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada persahabatan yang terjalin antara mereka berempat kerana sedar hatinya tidak pernah bersatu dengan rakan-rakannya.
No comments:
Post a Comment