Aktiviti Semasa

Terkini

...2015 agak lambat bergerak. Semua masih dalam perancangan.



Tuesday 12 July 2011

Sinopsis Silap Menghitung

Sinopsis

Silap Menghitung adalah versi Opah yang cuba diungkit kembali (mengimbas kenangan) menggunakan konsep persembahan dan perwatakan yang sama. Perbezaannya hanyalah latar masa yang disesuaikan dengan keadaan sosial, geografi dan teknologi sekarang. Opah merupakan drama bersiri terbaik yang pernah diterbitkan oleh RTM. Ia bertahan selama 18 tahun dari tahun 1982 hingga ke tahun 2000.
Bagi yang kali pertama melihat Opah mungkin tidak dapat merasakan perbezaan antara perwatakan-perwatakan yang ditimbulkan, tetapi bagi peminat setia mungkin melihat nostagia-nostagia yang telah lama terbina, sebagai contoh watak Joyah, Alang Yassin, Osman, Timah, Jenab, Dollah, Borhan (Bob), Bakar (Burn), Khaty dan ramai lagi...
Lokasi penggambaran dibuat di Batu Kurau, Perak iaitu lokasi yang paling ramai menggunakan panggilan Opah. Rumah yang digunakan sebagai set utama juga adalah milik seorang yang bergelar Opah....

Berikut disertakan ringkasan cerita Opah dalam kisah Silap Menghitung...

Opah berkunjung ke rumah anaknya Osman di Kuala Lumpur bersama Alang Yassin yang akan menghadiri seminar usahawan. Kebetulan pula sekolah mula bercuti. Telatah Opah bersama cucu-cucunya Bakar dan Borhan  menjadikan Timah dan Osman terhibur. Bagaimanapun keadaan bertukar apabila Khaty (Khatijah) membawa pulang sahabat baiknya, Alia yang dua tahun lebih tua dari Khaty menumpang seketika di rumah mereka.

Setelah diteliti, didapati Alia menghadapi masalah peribadi. Dia takut hendak balik ke rumah orang tuanya di Pahang kerana dia berbadan dua. Opah yang banyak pengalaman itu dapat mengesan dan menghidu masalah Alia. Namun bagi Timah, dia tidak mahu menanggung beban dan tidak sanggup ‘bersubahat’. Bagi Timah jalan terbaik, hal Alia ini harus diselesaikan oleh orang tuanya.

Alia mempunyai alasan sendiri kenapa dia tidak sanggup berdepan dengan orang tuanya, lebih-lebih berdepan dengan ayahnya yang panas baran. Memandangkan isu itu, dia berada di rumah Timah. Apabila Alia mengetahui bahawa kehadirannya tidak disenangi oleh Timah, Alia mengambil jalan singkat untuk keluar dari rumah itu.

Atas rasa tanggungjawab dan tidak mahu Alia merasa tersisih, Opah membawa Alia ke kampung.  Opah tidak mahu Alia bersendiri dalam menghadapi masalahnya.  Osman membawa Opah dan Alia balik kampung. Khaty dan Borhan turut sama.

Ketika Opah dalam perjalanan balik, Joyah pula tiba di rumah Timah. Joyah juga turut serta dalam seminar usahawan di Kuala Lumpur. Joyah hairan melihat Timah yang nampak kurang senang dengan Opah. Joyah mengorek punca Timah berkelakuan demikian.

Setiba di kampung, Alia tinggal di rumah Opah.  Opah beritahu apa yang berlaku kepada Jenab. Seperti Timah, Jenab juga nampak tidak bersetuju dengan kehadiran Alia.  Opah mempunyai pandangan berbeza dan mesti cuba menyelamatkan masa depan Alia. Bagi Opah, Alia masih muda dan dia perlukan bimbingan untuk memandu dia ke jalan yang betul. Bukan terus menghukumnya. Alia merasa dirinya tidak berharga lagi. Dia mengambil jalan nekad, cuba menggugurkan kandungannya. Tindakannya itu hampir meragut nyawanya sendiri.

Osman dan Yassin sepakat mencari keluarga Alia di Pahang untuk berbincang masalah yang dihadapai oleh Alia. Opah sering mempertahankan Alia kerana menganggap Alia seperti cucunya sendiri. Alia amat terharu dengan sikap Opah.

Bila Joyah kembali dari Kuala Lumpur, keadaan menjadi kecoh. Kisah Alia menjadi buah mulut. Tok Penghulu campur tangan. Tok Penghulu tidak mahu nama baik kampung tercalar dengan kehadiran Alia. Bagaimana pun kehadiran cucu Tok Penghulu, Faizal dari KL telah meleraikan masalah Alia.


...siaran pada 31 Julai 2011 jam 10.00 hingga 12.00 malam di TV2...

No comments:

Post a Comment